CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Thursday, July 27, 2006

::Latest Album : TRANSKRIPSI::CT NURHALIZA::

:>Pesanan CT buat peminat setianya........
Assalamualaikum dan salam kebahagiaan buat semua...
TRANSKRIPSI adalah himpunan perasaan atau rasa yang menyatu dalam hidup kita selama ini. Ia ditutur lalu ditulis dan dilagukan mengikuti emosi dan ekspresi. Ia dicantumkan dari keindahan lagu dan penceritaan lirik yang nada-nadanya tercipta daripada luahan serta terjemahan hati.
Segala ekspresi yang terlahir ini adalah satu perkongsian rasa kita semua. Sipu yang manis, rajuk yang mengguris atau amarah yang menghiris. Atau rasa bahagia yang bertandang, duka yang panjang, kecewa yang mengundang jua rindu waktu bayang menghilang. Ia juga menjadi sakit yang tak nampak deritanya atau bangga yang tak diungkap sedalamnya. Perasaan menjadi pancaindera, peka pada segala, mampu merasa pada sesuatu yang tak terzahir di mata.
Apa yang perlu adalah kita mewarnakan perjalanan hari. Bila ia mahu berhenti, berhentilah dengan keindahan abadi. Kita ini insan yang impiannya melebihi ketinggian langit, yang rasa kemahuannya melebihi keupayaan yang dibangkit, yang makna kehendaknya tidak seperti upaya yang terbit. Keterbatasan inilah yang akhirnya membuat kita semua kembali ke pangkal dan berpamit.
Di atas transkrip ini, saya mengakui HIDUP PENUH BICARA dan BILA HARUS MEMILIH, jalannya penuh dilema. Di mana haluan dan di mana panduan atau ke arah mana hala? RUPANYA KITA SERUPA, kita sesama insan sentiasa CUBA UNTUK MENGERTI agar jalan bisa seiring dan tangan boleh seganding. Atas kebersamaan ini IMPIANKAN NYATA kerana seupayanya kita cuba menjadi sesuatu di antara satu sama lain.
HATI BERBISIK penuh rasa kebahagiaan di atas kehadiran kalian yang begitu besar maknanya. SITI SITU SANA SINI yang kalian jejaki memanjangkan usia keberadaan saya dalam industri ini. Segala yang ditempuh penuh warna dan saya lalui TANPA DENDAM DI HATI. Dalam sejuta ketabahan itu, adakala tertanya sendiri, BISAKAH semuanya diharungi?
PASTIKAN suatu waktu kita akan saling berdepan dengan kebahagiaan dan permasalahan yang sama namun BIARLAH RAHSIA menjadi perkara paling tersembunyi dan INTRIG CINTA akan menemui DESTINASI CINTAnya sendiri.
Dan akhirnya TRANSKRIPSI merungkai segalanya dan menjadi buah tangan teristimewa daripada saya.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh tenaga kerja di sebalik penghasilan album ini. Penerbit, pencipta lagu, penggubah lagu, penulis lirik, jururakam, jurutera bunyi, penyanyi latar dan pemuzik, nama serta kerja kalian semuanya sudah tercatat di sini. Saya amat berterima kasih dan berbesar hati.
Pengorbanan mak, abah, seluruh keluarga dan kakitangan SNP serta pengedar album (belum tau…) setiap apa yang telah dicurahkan akan saya ingati, moga usaha kita diberkati.
Para peminat di mana jua yang sudah lama menanti dan memberi inspirasi, abadikan TRANSKRIPSI di hati.
Pihak media cetak, media elektronik dan juruhebah di dalam mahupun di luar negara, terima kasih di atas sokongan yang diberikan selama ini. Album ini tanda perjuangan saya belum berhenti.
Semoga berpuas hati.

Salam sayang buat semua.

Siti NurhalizaSiti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd.
Address:28-2-1 & 28-2-2, Jalan 5/101CCheras Business Centre, Cheras56100 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: 603 - 9133 5455Fax: 603 - 9133 5433

I LOVE U SITI NURHALIZA!!!

0 comment: